unclemaniam.blogspot.com

Tuesday 8 December 2015

"PUAN NAK TERUSKAN ATAU GUGURKAN SAJA KANDUNGAN NI ?"

No comments :



Bila anak yang dikandung didapati mempunyai masalah atau penyakit yang akan ditanggung oleh si anak seumur hidup, ibu bapanya akan diberikan kaunseling dan pilihan.

Ya, memang sangat meruntunkan hati. Ibu bapa akan rasa hilang semangat apabila dimaklumkan perkhabaran buruk itu. Betapa selama ini mereka berharap bayi yang dikandung itu sihat walafiat, tetapi diberi penyakit sejak dalam kandungan lagi.

Setelah doktor yang review kes itu memberikan penjelasan yang sepenuhnya, beliau akan memberikan dua pilihan kepada ibu bapa:

Nak gugurkan kandungan? atau;
Nak teruskan kandungan?

Ibu bapa, apabila mendapat berita buruk seperti ini, sila bincang dengan baik. Ambillah masa dan jangan berebut. Ringankan mulut untuk bertanya sebab kadang-kadang doktor yang review kes tersebut juga boleh tercicir info yang patut mereka jelaskan. Jadi, pastikan ibu bapa mendapat info-info yang sepatutnya seperti:

Apa risiko masalah/penyakit itu kepada bayi?
Apa risiko masalah/penyakit itu kepada si ibu?

Ada cara alternatif untuk merawat bayi apabila dia dilahirkan kelak atau ada tak cara lain untuk memanjangkan jangka hayatnya walaupun masalah/penyakit seperti itu tiada ubatnya?
Ada tak cara untuk mengubat bayi yang masih dalam kandungan?

Bila sudah mendapat semua info tersebut, balik, fikir dan berbincang dengan pasangan. Jika tidak puas hati dengan pandangan seorang doktor, berjumpalah dengan doktor pakar yang lain. Dapatkan pendapat kedua, ketiga untuk menyakinkan lagi diri sendiri.

Ada sesetengah doktor ini jenis yang kurang perasaan. Bercakap main lepas sahaja. Ada pula yang jenisnya terus menasihatkan agar gugurkan kandungan sebab bila bayi dilahirkan, peluang untuk terus hidup adalah 50/50. Jika hidup pun, mungkin akan sakit seumur hidup dan tidak dapat menjalani kehidupan yang normal seperti kanak-kanak yang lain.

Ya, memang ada sesetengah doktor yang tidak berperasaan seperti itu. Yalah, mereka juga adalah manusia. Tetapi kita sebagai ibu bapa berhak untuk membuat keputusan. Jadi, tabah, yakin dan bijak bila membuat keputusan penting ini. Jangan termakan sebarang hasutan, minta pertunjuk dan panduan dari Tuhan tak kira apa pun agama, siapa pun yang kita sembah, kalau kita ikhlas minta tolong daripadaNya, inshaAllah Dia akan berikan petunjuk.

Pada pendapat saya, ingat bahawa yang bernyawa di rahim si ibu itu adalah anugerah Tuhan. Jika Tuhan sudah memberikan kita peluang untuk bayi wujud dan hidup dalam rahim ibu, kenapa perlu kita tamatkan riwayatnya? Siapa kita nak menhalangNya sedangkan Tuhan yang Maha Berkuasa masih lagi memberikan bayi itu peluang untuk hidup? Adakah Tuhan ciptakannya dalam rahim untuk kita buang?

Siapa pun dia bila dia dilahirkan, hidup kah, mati kah, cacat kah, sakit kah, dia tetap ada keistimewaannya yang diberikan. Tuhan ciptakan dia, berikan dia penyakit sebab Tuhan lebih tahu apa yang Dia lakukan. Jangan susah hati dan fikir apa yang akan terjadi kelak. Jika dia meninggal semasa lahir pun, sekurang-kurangnya kita sudah memberinya peluang untuk merasa kasih sayang kita sejak dari dalam rahim lagi. Dia sudah tentu bersyukur dengan pengorbanan itu. Di akhir nanti, apa yang kita perlu buat hanyalah berserah.

Saya pernah melaluinya dan saya tahu apa rasanya bila berada dalam situasi seperti ini. Kepada yang belum tahu, anak lelaki saya disahkan menghidap Single Ventricle with Pulmonary Atresia sejak lahir dan ia tidak dapat diubati. Tetapi boleh improve quality of life dengan multistage surgery.

Malangnya, dia tidak mampu bersama kami untuk jangka masa yang lama. Dia meninggal di waktu usianya 2 tahun 4 bulan. Syurga adalah tempatnya pada masa ini.

Kepada ibu bapa yang meluahkan kepada saya, bertahanlah. You'll never know what good they bring to us instead of hardship that you think of. - Doktor Rynna Azlin 

sumber

No comments :

Post a Comment