unclemaniam.blogspot.com

Saturday 13 February 2016

LARANGAN MEMBUANG MAKANAN LAMA, TAPI SERAHKAN KEPADA BADAN AMAL

No comments :


PARIS – Semua pasar raya di Perancis kini dilarang daripada membuang barang makanan yang tidak habis dijual akibat tamat tempoh atau rosak walaupun dimasukkan ke dalam tong sampah jenis sisa pepejal kitar semula.

Sebaliknya mereka perlu mendermakan produk makanan lama itu terus kepada badan-badan amal atau ladang pertanian dan ternakan haiwan tempatan, menurut laporan media di negara Eropah tersebut pada Jumaat.

Dewan Senat Perancis dilaporkan turut mengikuti jejak langkah Dewan Rendah parlimen negara itu, yang pada bulan ini berjaya meluluskan rang undang-undang mengenai larangan pembuangan sisa makanan tersebut.

Meskipun mengalu-alukan keputusan politik itu, kebanyakan pihak bank-bank makanan menyatakan mereka memerlukan lebih banyak sumber bagi mengagihkan semula derma makanan daripada stor pasar-pasar raya.



Barang makanan yang dianggap tidak sesuai untuk dijual semula kepada pelanggan termasuk kerana kesilapan pada pembungkusannya, tetapi ia masih boleh lagi dimakan dan tidak sampai tahap menyebabkan keracunan.

Pembaziran makanan di Perancis dianggarkan secara purata sebanyak 20 hingga 30 kilogram setiap orang sepanjang tahun. Ia dianggap masih rendah kerana rakyat benua Eropah membazir purata 90 kilogram setahun.

Penduduk di benua Amerika Utara dan Oceania pula paling banyak membazir makanan iaitu 110 kilogram setiap orang setahun manakala Asia tenggara dan selatan mencatat rekod terendah iaitu 15 kilogram seorang setahun.

Di peringkat global, kajian badan bebas antarabangsa mendapati penduduk bumi membuang lebihan makanan yang sebenarnya boleh dikitar semula berjumlah dua bilion tan sepanjang tahun. – SUMBER

No comments :

Post a Comment