unclemaniam.blogspot.com

Thursday 21 January 2016

DOKTOR DITUMBUK GARA-GARA DITUDUH PANCITKAN KERETA POLIS

No comments :

gambar hiasan
Kes-kes salahguna kuasa polis, hangat diperkatakan pada masa ini. Saya seorang pegawai perubatan antara salah seorang mangsa keadaan ini.

Pada 19 Januari 2016 jam 8.30 malam, seorang lelaki Melayu dan Cina (jiran) datang ke rumah dan memaksa saya keluar dari rumah. Mereka menuduh saya telah memancitkan tayar kereta jenis Toyota Vios berwarna kelabu, nombor pendaftaran JNS9904, milik seorang anggota polis yang tinggal berhampiran dalam kawasan kediaman yang sama berdasarkan rakaman CCTV.

Saya enggan keluar tetapi ditumbuk di muka, bahagian bibir melalui jeriji pintu. Kemudian datang pemilik kenderaan yang berpangkat ASP (bertugas di IPK Melaka) mengeluarkan kad kuasa menyuruh saya turun untuk pengecaman berdasarkan CCTV tanpa sebarang waran yang dikeluarkan oleh pihak majistret. Dia juga membawa saya ke pondok pengawal untuk melihat sendiri rakaman CCTV.

Namun, dalam perjalanan ke pondok pengawal, lelaki Melayu itu tadi bertindak mengejar saya dengan membawa sebilah parang sebelum ditahan oleh penduduk pangsapuri.

Di dalam bilik CCTV, saya dituduh memancitkan tayar kenderaan mereka. Sedangkan perwatakan orang itu sangat berlainan dengan saya dan saya tidak pernah mengenali anggota polis terbabit.

Saya doktor hospital besar yang sentiasa mempunyai bebanan kerja yang berat. Kebanyakan masa balik ke rumah hanya untuk berehat sahaja.

Saya kemudian dipaksa untuk meniru gaya suspek dalam video tersebut. Selesai dipaksa, mereka tetap menuduh saya yang memancitkan tayar kenderaan mereka. Bagaimanapun, saya memberitahu mereka yang saya tidak keluar dari rumah semasa kejadian itu dan tidak pernah melakukan perbuatan. Malangnya mereka tidak percaya.

Saya ada cuba merakam gambar lelaki Melayu yang menumbuk muka saya tetapi dia telah menumbuk tangan saya. Adik saya yang turut berada di tempat kejadian juga ditumbuk di bahagian muka kerana mahu menghubungi polis.

Saya mendapati, lelaki Melayu yang menumbuk saya itu menggunakan kenderaan motosikal nombor pendaftaran MBL 3115 jenis Honda EX5 berwarna putih.

Pemilik kenderaan berkenaan mengatakan bahawa beliau adalah polis sambil mengeluarkan kad kuasanya sekali lagi dan bertegas tidak mahu memanggil polis untuk campur tangan dalam hal ini.

Saya kecewa, di mana letaknya integriti seorang anggota polis yang sepatutnya melindungi ketenteraman awam boleh pula berpakat dengan penjenayah yang hampir membunuh saya dan adik saya.

Bukan isunya saya doktor dan saya patut mendapat layanan yang baik, tetapi saya dituduh tanpa sebarang usul periksa dan juga membenarkan jenayah dilakukan di depan mata adalah sesuatu yang sangat tidak wajar yang juga mungkin boleh berlaku pada sesiapa sahaja termasuk keluarga dan rakan-rakan anda. - Dr Muhammad Wafiuddin
 

No comments :

Post a Comment