unclemaniam.blogspot.com

Sunday 6 March 2016

"SEDIH MELIHAT ANAK YATIM DIPERLAKUKAN SEPERTI SAMPAH" - CIKGU ZAHRAN

No comments :


Aku dah pernah tulis tentang ini suatu masa dulu. Bukan nak memandai-mandai, tetapi aku tak mampu nak pejamkan mata dan buat pekak badak.

Sebelum ini, aku berangan nak buka rumah anak yatim. Kononnya mahu buat pahala banyak. Tetapi selepas ditegur oleh Cikgu Wahab semasa di kampung, aku batalkan niat tersebut.

"Tak payahlah. Nanti kau yang tersangkut," kata Cikgu Wahab.

Aku pun anak yatim. Ayah meninggal dunia semasa aku berusia 3 tahun. Kalau tiada gambar jubah berwarna biru itu, aku langsung tidak dapat bayangkan macam mana muka ayah.

Selepas pemergian ayah, ibu berkorban seluruh hidupnya untuk menjaga kami adik beradik sehinggalah umurnya 30 tahun pada ramadhan yang lalu.

Aku taklah susah walaupun ibu tak kerja dan tak mengaji tinggi. Apa yang kami perlu, ibu akan usahakan juga. Bila aku meraung nak baju pengakap, ibu belikan. Dan aku pakai baju pengakap itu untuk beberapa tahun walaupun sendat seperti balut buah nangka. Maklumlah dari kecil badan dah kus semangat.

Aku tidak dapat membayangkan anak yatim dan asnaf diperlakukan seperti sampah. Kalau nak buka rumah anak yatim, buatlah betul-betul. Bukannya mengabaikan mereka. Kalau tak mampu nak jaga, jangan buka rumah anak yatim. Buat dosa saja. Tuhan sebut dengan jelas dalam Al-Quran tentang anak yatim dan msikin.

Sedih saya melihat anak-anak ini. Telinga bernanah sampai kuning kolar baju. Baju putih dah menjadi seperti belacan sebab mereka perlu basuh pakaian sendiri. Budak-budak, bukannya reti sangat pun.

Bila kita pergi melawat rumah anak yatim ini, kakitangannya tidak membenarkan kami masuk. Seperti ada sesuatu yang mahu disembunyikan.

Terkesima aku bila melihat anak yatim dan asnaf memakai selipar lebih sejengkal dari kakinya. Seorang lagi pakai kasut terlalu kecil, sampaikan nak sarung pun tak boleh. Jalan pual terjengket-jengket. Bagi belanja, seringgit sehari.

Memang haramjadahlah siapa yang memperlakukan mereka seperti ini. Menjawablah mereka di akhirat kelak. LAmbat siang nak buka rumah anak yatim tetapi tanggungjawab diabaikan.

Baru aku tahu erti syukur walaupun aku ingat dulu akulah yang paling malang sebab tiada ayah. Tetapi anak-anak ini lebih malang. Sekurang-kurangnya aku tidak dihantar ke rumah anak yatim walaupun arwah ibu orang susah. Aku rindu sangat pada ibu.

Moga kubur ibu lapang seperti taman-taman syurga. Ibu melahirkan kami 13 beradik dan menjanda sehingga akhir hayatnya demi anak-anak. Semoga kami adik beradik sentiasa saling kasih mengasihi dan dijauhkan dari sebarang persengketaan. - Cikgu Zahran
 

No comments :

Post a Comment