unclemaniam.blogspot.com

Saturday 5 March 2016

KISAH LELAKI DIPAKSA BAYAR 500 RIYAL SELEPAS CIUM HAJARUL ASWAD

No comments :


“Bapak! bapak! bapak mahu cium Hajarul Aswad?” kata seorang lelaki muda 20an, anggaran tinggi 160cm memanggil saya di kala keramaian ribuan manusia yang sedang tawaf mengelilingi Kaabah.

Kisah ini dipetik menerusi Facebook Firdaus Yasin.

“Susah, ramai orang, tak boleh,” jawapan saya pada pemuda itu.

“Boleh Pak! Ayuh rapat ke mari,” ujar lelaki 20an tadi dan terus memimpin saya hingga merapati ke dinding Kaabah.

Sedikit-demi sedikit bergerak ke arah Hajarul Aswad. Dalam masa yang sama, tiba-tiba, beberapa pemuda lain turut membantu saya untuk merapati Hajarul Aswad.

Dengan sekelip mata, saya telah berada di hadapan Hajarul Aswad!

“Lekas cium Pak!!” gesa pemuda 20an yang membantu saya sebentar tadi. Beliau sedang di asak dari belakang oleh jemaah-jemaah lain yang berbadan sasa yang turut serta mahu mencium Hajarul Aswad.

Perasaan saya pada waktu itu, hanya tuhan sahaja yang tahu. Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah. Saya berjaya sampai dan berpeluang mencium Hajarul Aswad.

Selesai mencium Hajarul Aswad, saya di bawa oleh dua orang pemuda tadi ke satu tempat khas. Semasa di bawa. Saya di kawal dengan baik supaya perjalanan saya lebih lancar. Setibanya di satu tempat. Salah seorang dari mereka bersuara.




“Sujud syukur Pak, sudah dapat cium Hajarul Aswad,” ujar pemuda itu kepada saya.

Saya ikut. Perasaaan yang terlalu gembira. Selesai sujud syukur. Saya bersalaman dengan kedua-dua pemuda tadi. Kemudian pemuda tadi bersuara.

“Bapak seronok? sudah dapat cium Hajarul Aswad?” pemuda itu bertanya.

“Alhamdulillah Pak, terima kasih sudi bantu saya, hanya Allah yang dapat membalasnya,” saya ucapkan terima kasih pada pemuda itu.

“Bapak seronok? sudah dapat cium Hajarul Aswad, kami mahu upah, boleh bapak?

Saya terus keluarkan 20 riyal tanpa banyak soal sebagai hadiah membantu saya.

“Kami berempat pak, 20riyal enggak cukup, biasanya 500 ke 1000 riyal pak,” kata pemuda itu lagi.

Saya tercengang, terkedu dan terkejut untuk seketika. Terus saya beritahu pada pemuda itu, saya tidak bawa duit hingga 500 riyal.

Pemuda itu tetap bertegas mahu 500 riyal. Dalam hati saya berdoa, “Ya Allah, permudahkanlah urusan ibadah ku ini.”

Saya beri pemuda itu 100 riyal. Pemuda itu tetap memandang saya. Dan masih menanti di sebelah, saya cekalkan hati. Pejam mata. Duduk dan berzikir. Tidak lama kemudian, pemuda itu hilang. Tenggelam di dalam ribuan lautan manusia.

Apabila pulang ke hotel penginapan, saya menceritakan pengalaman saya kepada mutawif. Mereka mohon maaf kerana terlepas pandang tentang hal ini dan terlupa untuk maklumkan pada saya dan jemaah lain.

Tidak di nafikan memang ada sindiket perkhidmatan sebegini di sana, mereka dari Indonesia (bukan semua).

Apabila mendapat tawaran untuk mencium Hajarul Aswad, pilihan di tangan kita. Ianya sunat.




Apa yang saya kongsi berdasarkan pengalaman di tanah suci semasa menunaikan Umrah pada Februari 2014. Setiap yang berlaku pasti ada hikmah. Hikmah yang hanya Tuhan saja yang tahu. Pasti ada kebaikan lain yang Allah akan beri.

Dengan sedikit pengalaman yang saya ada, Saya kongsikan persediaan buat mereka yang mahu menunaikan ibadah umrah. Untuk persediaan yang lebih terperinci, boleh rujuk pada pengendali umrah anda.


1. Jaga stamina tubuh badan

Saya sarankan untuk mantapkan stamina 2 bulan sebelum ke sana (jogging/skiping). Senaman yang lebih tertumpu pada kardio. Tujuannya supaya semasa di sana stamina kita dalam keadaan yang baik semasa menunaikan ibadah. Tubuh badan yang cerdas dan cergas akan lebih membuatkan kita lebih fokus semasa beribadah.

2. Jika serius mahu pergi, bayar booking sebagai komitmen

Sebaiknya kita bayar 4 bulan sebelum kita ke sana. Ini sebagai pendorong kepada diri untuk kita komited dan bersungguh untuk ke sana. Berobjektif.

3. Belajar untuk banyakkan bersabar

Setibanya di sana, pelbagai ujian dan cabaran bakal menanti.

4. Datang awal

Biasanya pada hari Jumaat, jemaah dinasihatkan untuk datang awal. Ini kerana penduduk di sekitar Makkah akan turun menyebabkan seawal jam 11 pagi sudah padat dengan lautan manusia.

5. Kawal nafsu berbelanja

Berpada-pada semasa membeli buah tangan untuk insan tersayang.

6. Ingat ‘landmark’

Masjidil haram tempat yang besar, pastikan kita ingat ‘landmark’ utama sebagai petunjuk jalan pulang ke Hotel penginapan. Ingat satu tempat yang menjadi petanda supaya kita ingat jalan pulang ke hotel. Jangan lupa pengenalan diri! Sentiasa bawa!

7. Fahami mazhab

Di sana kita akan berjumpa dengan ramai umat islam yang berlainan mazhab, sebaiknya tidak memberi teguran secara terbuka tanpa kita mengenali rapat individu tersebut. Ini bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak di ingini.

8. Banyakkan minum air zam-zam

Ini dapat membantu untuk memberi tenaga supaya kita dapat menjalankan ibadah dengan lebih sempurna.

9. Letakkan target akan pergi bulan berapa

Sebagai contoh nak pergi tahun hadapan. Buat kira-kira, berapa duit yang perlu dikumpul untuk capai target.

Contoh: Nak pergi bulan Oktober 2017. Bajet diperlukan RM8,000 termasuk belanja. Maka, RM8,000 bahagi dengan 12 bulan. Sekurang-kurangnya kita kena kumpul RM666.60 sebulan. Boleh rujuk Fa Izin International Travel & Tours Sdn Bhd. Inshaallah ada pakej umrah bersama Hj Adi Putra dan pengacara muslimah yang sedang meningkat naik, Mira Filzah. Bulan Ramadhan di tanah suci.

10. Kerjakan umrah/haji di usia muda

Sekirannya berkemampuan. Datanglah di waktu usia muda. Banyak tenaga. Pendedahan awal sebelum menunaikan Haji. Inshaallah.

Apabila telah tiba di sana, pasti akan pasang niat untuk pergi lagi(semasa menulis point kesepuluh ini, mata saya berkaca, menahan kerinduan untuk ke Tanah suci Makkah dan Madinah)

Saya kongsikan sepuluh persediaan ringkas. Jika ada yang mahu tambah, saya galakkan. Lain orang, lain pengalaman. Dalam cerita kita, ada cerita orang lain. Dalam cerita orang lain, ada cerita kita.

Didoakan ianya bermanfaat pada yang membaca. Saya bukanlah seseorang yang arif dalam hal ehwal agama. Tapi saya percaya, berkongsi ilmu dengan niat memberi manfaat pada orang lain, Inshaallah diberkati.

Kongsikan kisah dari perindu Mekah dan Madinah ini pada orang lain agar mereka turut peroleh manfaat bersama. 

No comments :

Post a Comment