unclemaniam.blogspot.com

Saturday 5 March 2016

"DIA LULUS SEBAB DIA MINAT DENGAN CARA PENDEKATAN GURU ITU"

No comments :


Keputusan SPM 2015 ini adalah keputusan salah seorang pelajar kelas saya. Saya adalah guru subjek Sains dan guru kelas pelajar tersebut, kelas Tingkatan 5 yang paling belakang.

Pelajar ini merupakan pelajar yang lembab dalam pembelajaran. Selalu 'blur' bila ditanya oleh guru, suka sengih setiap masa, menjadi bahan buli dan jenaka kawan-kawan, suka berbuat apa sahaja yang diarahkan oleh kawan-kawan walaupun perbuatan itu akan memalukan dirinya.

Saya gemar bersembang dengannya. Dia banyak mendiamkan diri sambil tersengih-sengih tanpa menjawab sepatah pun pertanyaan saya. Di sudut hati saya berkata, dia hanya memerlukan perhatian, bukannya perlu belajar untuk menghabiskan silibus.

Saya jarang mengajar apabila masuk ke kelas ini. Saya hanya akan mengajar tajuk berkaitan selama 10 minit, buat satu atau dua soalan contoh, kemudian bersembang dengan mereka.

Saya tahu dan saya yakin, bicara dan perhatian guru lebih bernilai di mata pelajar-pelajar seperti ini berbanding menengking dan memaksa mereka menyiapkan kerja sekolah. Ibubapa pelajar ini hanya hadir ke sekolah setahun sekali. Datang awal pagi, beratur panjang semata-mata mahu menuntut Bantuan Persekolahan RM100. Mesyuarat PIBG tak pernah hadir, perjumpaan Jaya Waris di mana guru bertemu waris untuk berkongsi perkembangan anak-anak mereka di kelas juga tidak pernah hadir.

Pelajar seperti ini hanya mahukan kasih sayang, perhatian dan rasa dipunyai oleh ibubapa. Jika kita sebagai guru tidak dapat mengisi kekosongan tersebut di dalam hati mereka, maka sekolah akan menjadi neraka kedua selepas rumah mereka.

Peperiksaan sebenarnya bukan menilai tahap pemahaman pelajar tetapi menilai tahap ketulusan seorang guru dalam mendidik mereka. Setelah saya melihat keputusan pelajar ini, terdetik memori silam sewaktu saya menjadi pelajar yang sangat meminati Sains dan Biologi dahulu.

"Kita meminati sesuatu subjek kerana guru subjek tersebut."

Terima kasih anak-anak muridku kerana "mengajar" ku selama ini untuk menjadi seorang guru dan ayah yang baik. - Cikgu Izzat

No comments :

Post a Comment