unclemaniam.blogspot.com

Monday 15 February 2016

VIDEO PEMUDA SEDEKAH PIZZA JADI VIRAL

No comments :


HANYA berbekalkan RM12, seorang pemuda berjaya meraih perhatian netizen apabila video yang memaparkan aksinya memberikan makanan kepada golongan gelandangan di Kuala Lumpur menjadi viral di media sosial.

Video yang dipercayai dirakam sendiri oleh pemuda terbabit kini giat dibualkan di media sosial sehingga mendapat perkongsian melebihi 3,500 di laman Facebook.

Pemuda berkenaan, Ahmad Fzl menulis di ruangan posting videonya dengan menamakan rakamannya itu sebagai ‘Projek Jumaat’.

“Saya nak happykan hamba Allah istimewa sekitar KL,” tulisnya ringkas.

Katanya, dia telah memerhatikan seorang pekerja penghantar pizza yang menunggu pelanggannya di tepi jalan dan kemudian meminta dibungkuskan dua set pizza.

Selepas mendapatkan pesanannya dan beredar dari situ, dia yang menunggang motosikal telah bertemu dengan seorang wanita pengutip barang-barang buangan dan kemudian memberikan sepotong pizza kepada wanita itu.

Dia kemudiannya pergi ke destinasi lain iaitu di Jalan Tunku Abdul Rahman di ibu negara untuk mencari sesiapa sahaja yang dirasakan kurang bernasib baik untuk diberikan pizza yang ada di tangannya.

Sikap pemuda itu mendapat pujian netizen yang rata-rata mendoakan kesejahteraannya dan meminta dimurahkan rezeki kerana telah menunjukkan pekerti yang sangat bermakna.

Video itu dipercayai dirakam pada Jumaat lepas berdasarkan tarikh ia dimuat naik di Facebook. – SUMBER

No comments :

Post a Comment