unclemaniam.blogspot.com

Sunday 7 February 2016

"SAYA HANYA JUAL TUDUNG, BUKAN SOKONG ISRAEL" - NEELOFA DIKECAM NETIZEN

No comments :


Pelakon Neelofa tidak pernah sama sekali menyokong sebarang tindakan kejam rejim Israel terhadap penindasan kepada warga Palestin, meskipun beliau ada menjalankan urus niaga tudung Naelofar Hijab dengan banyak individu di negara berkenaan.

Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 27, memberitahu, dia sekadar memenuhi kehendak pelanggan Islam dari Israel, yang ingin membeli produknya melalui pesanan di dalam talian lapor Utusan Online.

“Saya tahu isu ini agak sensitif tapi niat saya hanya mahu memenuhi kehendak penduduk beragama Islam di sana yang ingin membeli tudung kami. Urusan jual beli itu berlaku antara individu berkenaan dengan pihak saya, secara peribadi.

“Penting untuk saya beritahu bahawa urus niaga itu tidak melibatkan kerajaan mereka pun, apatah lagi Naelofar Hijab memang menyediakan penghantaran pengeposan ke seluruh dunia. Seharus­nya orang kita berbangga apabila ada produk tempatan mendapat permintaan sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hari ini, Neelofa dikecam hebat oleh sebahagian pengikut di laman sosialnya gara-gara memuat naik sekeping foto yang tertera alamat penghantaran tudung jenama berkenaan ke Israel.



Kebanyakannya melahirkan rasa tidak berpuas hati kerana pelakon dan pengacara itu berurus niaga dengan penduduk negara yang menindas umat Islam Palestin.

Seorang yang menggelarkan dirinya @khanhach menulis di instargram Neelofa dengan kata-kata:

“Israel ni semua kafir, bukan muslim. Mana ada tempat nama Israel, sepatutnya Palestin. Ini sah-sahlah sokong laknatullah!”

Sementara @lazimzana pula memberi komen serupa dengan menulis ayat: Kenapa berurusan dengan negara itu? Di tanah Israel itu tiada langsung orang Islam.

Bagaimanapun, kata Neelofa, meski pun dikecam hebat, dia tidak berhasrat memadamkan foto itu memandangkan dia tidak melakukan sebarang kesalahan dari segi etika perniagaan.

“Kenapa saya perlu memadamkan gambar itu? Saya tidak akan merahsiakan urus niaga kami kerana banyak sebab, dan secara tak langsung orang boleh dapat informasi daripada sekeping foto berkenaan.

“Barangkali ramai yang tak sedar mengenai hal ini. Individu itu juga bukanlah pelanggan pertama kami, tetapi sudah ramai yang membeli tudung Naelofar Hijab datangnya dari negara berkenaan.

“Sekurang-kurangnya mereka yang salah anggap itu dapat membuang tafsiran negatif dan sama-sama dapat maklumat. Di sana ada lebih daripada 20 peratus penduduk Islam,” ujarnya yang menganggap keputusan berurus niaga dengan penduduk Islam di Israel bukan satu kesalahan.

No comments :

Post a Comment