unclemaniam.blogspot.com

Friday 19 February 2016

"SAYA BAYAR CUKAI, TAKKAN TAK BOLEH RAKAM DOKTOR BUAT KERJA ??"

No comments :


Saya teringat sebuah peristiwa yang berlaku ketika saya sedang 'on call' di Jabatan Kecemasan. Saya ceritakan semula di sini dengan jalan cerita yang saya ubahsuai dan tokok tambah.

Saya ketika itu, sedang "resusitasi" seorang pesakit di Red Zone. Keadaan agak cemas ketika itu. Red Zone Jabatan Kecemasan di hospital saya bertugas, terletak betul-betul bersebelahan Zon Kuning dalam satu ruang yang sama.

Tiba-tiba saya ternampak seorang waris pesakit (pesakit lain di Zon Kuning) sedang merakam aksi saya dan staf melalui telefon bimbitnya. Saya tiba-tiba menyirap darah dan meminta staf menyambung resusitasi, manakala saya dengan gaun berlumuran darah menanggalkan glove dan menuju ke gadis tersebut.

"Cik, mengambil gambar tanpa kebenaran adalah dilarang, dan mengganggu penjawat awam bertugas adalah kesalahan jenayah! (Seksyen 186 Kanun Keseksaan (Jenayah))" saya menegur dengan keras gadis tersebut.

Beliau tergamam, mungkin terkejut kerana terkantoi atau mungkin kerana melihat mata saya terjegil di kala wajah saya di sebalik mask yang dipakai.

"Saya minta telefon cik sekejap untuk delete balik apa yang cik rakamkan atau jika tidak saya akan buat laporan polis!" saya mengugutnya.

Beliau terketar-ketar menghulurkan telefon beliau dan saya delete rakaman yang dibuat, lantas memulangkan semula telefon tersebut.

"Cik, kalau saya dapati ada muka saya keluar di mana-mana laman sosial, cik tunggu surat mahkamah (Seksyen 233 (1) (B) Akta Komunikasi dan Multimedia). Saya kenal cik dan ibu cik adalah pesakit saya. Guard, tolong bawa cik ini keluar dari jabatan kecemasan," sengaja saya menambah "perisa".

Pengawal Keselamatan mengiringi gadis tersebut ke luar. Apa beliau ingat saya ini tunggul yang boleh membiarkan beliau berbuat sesuka hati merakam pesakit saya, staf-staf saya dan diri saya sedang menjalankan tugas?


MERAKAM GAMBAR DI KAWASAN HOSPITAL ADALAH DILARANG

Merakam gambar tanpa kebenaran di kawasan hospital adalah sebuah larangan. Ianya common sense, tak perlu ada hitam putih walaupun kebanyakan hospital mewartakannya didalam polisi masing-masing. Ada pihak yang cuba mempertikaikan.

"Hospital tak nak orang awam merakam kelemahan mereka la tu."
"Ala doktor misi sendiri pun ada je ambil gambar."

Walaupun kami boleh menjawab dan merasionalkan, tetapi saya secara peribadi berpendapat, tak perlu pun. Kerana prinsipnya mudah, kamu datang rumah orang, maka hormatlah peraturan rumah orang tersebut. Walaupun peraturan itu nampak nonsense bagi kamu. Nampak fishy, beralasan dsb, bagi kamu. Rumah saya, ada dua tandas. Satu tandas untuk kegunaan ahli keluarga, manakala jika tetamu hendak menggunakan tandas, saya akan tunjukkan tandas kedua. Biadap benar tetamu yang tiba-tiba berkata, "kenapa saya tak boleh masuk tandas yang lagi satu?"

Walaupun hospital adalah bangunan awam sebagaimana pejabat-pejabat dan tempat-tempat awam yang lain, menjadi "awam" tidak bermaksud anda boleh sesuka hati masuk ke mana-mana ruang atas alasan

"Saya rakyat awam, saya bayar cukai, saya bebas mahu ke mana-mana dan berbuat sesuka hati saya."

Sedangkan berurusan di kaunter awam seperti JPJ, JPN dsb pun, had kita di depan kaunter sahaja. Bukannya boleh sesuka hati masuk ke belakang, masuk ke ruang pejabat, stor dsb. Begitu juga perbuatan merakam atau mengambil gambar. Anda tidak boleh sesuka hati mengambil gambar, apatah lagi gambar orang lain tanpa kebenaran seperti staf, waris pesakit lain, atau pesakit lain sendiri.

Sebelum ada yang minta "hitam putih", tanyakan sahaja diri sendiri, sukakah anda jika gambar anda sendiri dirakam tanpa pengetahuan? Sukakah anda, jikalau ibu, ayah, kakak, adik anda sendiri, yang datang kerana kesakitan, diambil gambar secara curi-curi?

Ini belum masuk bab memviralkan lagi. Kadang-kadang kita tak perlu pun masuk bab teknikal: arahan siapa, surat pekeliling mana, akta mana, polisi mana. Sebaliknya cukup jika kita bertanya diri kita, sukakah kita jika kita diperlakukan sedemikian.

Keesokan harinya, apabila tamat on call, saya segera berjumpa Pengarah Hospital untuk memaklumkan kejadian malam tadi. Saya perlu memaklumkannya terlebih awal, sebelum beliau yang terkejut kalau-kalau muka saya dan staf beliau muncul di Facebook.

"Video Doktor Menyiksa Pesakit Sehingga Berlumuran Darah"

Mampus saya nak menjawab. Sebelum apa-apa, baik saya maklumkan bos dahulu. Dalam masa yang sama, saya meminta izin dari beliau untuk oncall-oncall yang seterusnya, saya mahu kuatkuasakan sebuah lagi peraturan di Jabatan Kecemasan, iaitu:

Waris pesakit dilarang berada di ruang rawatan ketika rawatan sedang diberikan.

Ini juga adalah salah satu peraturan di hospital, tetapi kita sering bertoleransi. Selalunya bagi pesakit stabil di Jabatan Kecemasan, kita benarkan seorang waris berada bersama. Mungkin ketika itu pesakit sedang diberikan IV Drip atau sedang menunggu keputusan darah, atau menunggu kesan ubatan. Kita izinkan seorang waris datang menunggu dengan harapan ia menjadi peluang kepada waris tersebut berbuat pahala menjaga ahli keluarganya yang sakit.

Namun berdasarkan pemerhatian saya selaku pegawai perubatan yang sering bertugas di jabatan kecemasan, banyak "masalah" bukannya datang dari pesakit sendiri tetapi dari waris/peneman. Mereka ini, agaknya kebosanan menunggu pesakit. Lalu mata mereka liar menjeling ke sana sini. Tangan mereka gatal memicit-micit skrin telefon. Ada yang bermain permainan video. Ada yang bermesej, Bahkan ada yang tak boleh duduk diam, dia berjalan ke katil sebelah berbual dengan waris lain, dia berjalan mengintai carta pesakit, adjust-adjust speed IV Drip, jenguk ke dalam sharp bin (ya, saya sangat observant). Dan tentulah, ada yang mengambil gambar, video, selfie, wefie dsb.

Pesakit, yang betul-betul sakit (selalunya di zon kuning atau merah), tiada peluang dan masa nak buat benda-benda "lagha" ni. Waris pesakit yang selalunya kebosanan tak tahu nak buat apa. Padahal saya pernah menulis dahulu, sepatutnya pada waktu itulah kena banyak ingat Allah. Orang sakit ini, dekat dengan Tuhan. Mereka "memandang" Allah, dan dipandang Allah. Bukankah lebih baik pada ketika inilah, masa diambil untuk menjaga mereka, mengajak berdoa, mengajak bersabar, mengajak berzikir. Memohon agar Allah mempermudahkan urusan kami petugas kesihatan dalam merawat ibu/ayah/isteri/adikberadik anda.

Tetapi itu jarang berlaku. Sebaliknya semakin ramai yang mengintai-intai mencari kelemahan. Ada sahaja yang tidak puas hati, judging itu dan ini. Sampaikan kidney dish yang ada kesan darah pun mahu "diadukan" di Facebook.

Saya nekad, saya perlu pastikan bahawa diri saya dan staf-staf lain boleh bekerja dengan selesa dan yakin tanpa rasa intimidated. Alhamdulillah, pengarah mengizinkan saya menguatkuasakan peraturan tersebut kerana "itulah yang sepatutnya."

Justeru sejak peristiwa tersebut berlaku beberapa bulan lalu, saya cukup pantang kalau ada waris pesakit menunggu pesakit di ruang kecemasan. Bagi pesakit yang benar-benar memerlukan bantuan (orang tua yang dependent atau kanak-kanak), saya benarkan seorang sahaja waris menunggu. Manakala untuk pesakit lain, saya memberitahu kepada waris mereka,

"Encik/Puan tunggu di luar dahulu ya, jikalau ada apa-apa perkembangan saya akan panggil masuk ke dalam."

Tiba masanya "defensive medicine" perlu dipraktikkan! - Mohd Syamirulah Rahim

No comments :

Post a Comment