unclemaniam.blogspot.com

Monday 18 January 2016

"SUDAHLAH HANDBAG HILANG KENA CURI, DISURUH BAYAR DENDA RM50 !"

No comments :

gambar hiasan
Kepada kaum wanita, sila berhati-hati bila menggunakan tandas awam seorang diri. Saya berharap perkongsian ini dapat meningkatkan kepekaan orang ramai dan juga berharap pihak pengurusan The Intermark Mall mengambil tindakan bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang lagi di masa akan datang.

Khamis (7 Januari 2016), saya pergi ke The Intermark Jalan Tun Razak untuk makan malam dengan rakan. Sekitar jam 9.15 malam, kami selesai makan dan mahu berangkat pulang ke rumah. Segalanya baik-baik saja sehinggalah beg tangan saya dicuri ketika saya pergi ke tandas, sementara itu rakan saya menunggu di luar.

Saya perasan ada seorang wanita berdiri di depan cermin. Saya abaikan dia dan terus masuk ke dalam tandas. Saya kunci pintu dan letak beg tangan di belakang saya. Selepas selesai, saya berpusing ke belakang untuk mengambil beg tangan tetapi hilang!

Saya tidak mendengar sebarang bunyi dan segalanya berlaku dengan pantas. Saya terkejut dan terus membuka pintu tetapi tiada sesiapa berada di luar termasuklah wanita itu tadi.

Saya berlari ke luar untuk meminta bantuan tetapi tiada seorang pun yang berada di kawasan itu pada waktu itu. Mujur ada telefon di tangan dan saya hubungi rakan untuk meminta bantuan. Kami kemudian segera pergi mencari pengawal keselamatan tetapi mereka tidak kelihatan.

Setelah 5 - 10 minit barulah kami nampak pengawal keselamatan dan kami memaklumkan kepadanya apa yang telah berlaku. Kami kemudian kembali ke tandas itu semula dan memeriksa segala pelusuk tandas itu namun gagal menemui apa-apa.

Kami berjalan dari The Intermark ke Balai Polis Tun Razak untuk membuat laporan polis. Selesai di situ, pegawai polis yang bertugas meminta saya pergi ke IPD Wangsa Maju untuk bertemu dengan seorang sarjan di sana.

Kami terpaksa meminta bantuan dari rakan lain untuk menghantar kami ke IPD Wangsa Maju, memandangkan saya telah kehilangan kunci kereta. Bukan itu saja, saya juga kehilangan kad pengenalan, kad ATM, kredit kad, kad insurans, wang tunai, Go Pro, lesen memandu dan tiket parking yang keseluruhannya berjumlah RM6,000.

Sekitar jam 11 malam, kami bertemu dengan Sarjan dan soalan pertama yang ditanya,

"Dah pukul berapa ni baru nak datang?" katanya.

Tak bolehkah dia memahami situasi saya? Saya baru saja kehilangan beg tangan dan tiada kenderaan untuk datang ke situ. Kemudian bermulalah sesi siasatan yang panjang lebar.

Jumaat (8 Januari 2016), saya pergi ke UTC Keramat untuk membuat kad pengenalan dan lesen memandu yang baru. Kemudian saya pergi ke Maybank dan CIMB untuk mendapatkan kad gantian.

Pada jam 3.30 petang, Sarjan menghubungi saya dan meminta saya datang ke The Intermark untuk menonton rakaman CCTV. Saya terus bergegas ke Intermark dan bila tiba saya terus menghubungi Sarjan berkenaan. And guess what?

"Saya sudah jalan sebab saya ada banyak lagi kes-kes jenayah yang lain. Boleh awak pergi berjumpa dengan pengawal keselamatan yang kita jumpa semalam dan minta dia bawa awak untuk menonton rakaman CCTV itu?" katanya.

Saya kemudian pergi ke pejabat pengawal keselamatan dan menunggunya di situ. Ketika menunggu, saya sempat bertanya kepada beberapa pengawal keselamatan yang berada di situ.

"Kejadian seperti ini pernah berlaku ke sebelum ini?" soal saya.

"Ya, sudah banyak kali berlaku. Orang letak barangan mereka di belakang dan bila sudah selesai, barang mereka hilang tanpa dikesan," kata mereka.

Jadi, kenapa pihak pengurusan tidak meletakkan sebarang label di tandas "Jaga barangan anda" atau "Jangan letak barang anda di sini", susah sangat ke nak buat amaran seperti ini?

30 minit kemudian, dia datang dan memaklumkan bahawa dia tidak dapat menonton rakaman CCTV itu. Bagaimanapun dia telah merakam video itu dan akan dihantar kepada Sarjan terbabit.

Saya tanya sama ada dia ada melihat apa-apa atau individu yang mencurigakan?

"Saya tak dapat nak cakap apa-apa. Awak perlu tanya pada pihak polis setelah mereka mendapat rakaman CCTV itu. Apa-apa awak tanya mereka," katanya.

Malam itu, saya balik ke rumah mengambil kunci pendua dan kembali ke Intermark untuk mengambil kereta saya. Saya pergi ke pengurusan tempat letak kereta dan menceritakan apa yang berlaku memandangkan saya tidak mempunyai tiket parking. Saya tunjukkan sekali laporan polis yang telah dibuat. Namun saya masih juga didesak untuk membayar RM50 denda penalti kerana kecuaian menghilangkan tiket parking. Katanya mereka perlu mengikut prosedur. Biar betul?

Saya tidak kisah untuk membayar jumlah itu tetapi di mana perasaan simpati mereka terhadap orang yang dilanda kesusahan?

Sabtu (9 Januari 2016), saya menghubungi Sarjan untuk bertanya sama ada dia sudah menonton video rakaman CCTV tersebut. Tetapi dia kata,

"Sabtu Ahad cuti," katanya terus menamatkan panggilan.

Inilah yang berlaku jika anda tidak mempunyai sebarang jawatan tinggi, tidak punyai wang di Malaysia. Mereka tidak akan melayan anda dengan baik. Sungguh tidak menyangka mendapat layanan teruk seperti ini dari pihak Intermark dan pihak polis. Saya sendiri tidak tahu bila kes ini akan dapat diselesaikan. - Bella Rais

SUMBER

No comments :

Post a Comment