unclemaniam.blogspot.com

Wednesday 9 December 2015

"DIA TERGAMAM DAN MENANGIS MELIHAT ANAK SAYA"

No comments :


KUANTAN - Susulan viralnya permintaan seorang ibu untuk bertemu dengan bayi yang dikatakan seiras dengan arwah anaknya, ibu kepada bayi terbabit sanggup bertemu dengan pasangan berkenaan.

"Sebaik berjumpa dengan mereka di sebuah hotel di Shah Alam, dia kelihatan seperti tergamam dan menangis sebaik saja menatap wajah anak saya.

"Saya lakukan semua ini bukan untuk mendapat pujian atau 'Like'. tetapi kerana naluri keibuan saya yang kasihan melihat seorang ibu muda terlalu merindui arwah anaknya. Ini mendorong saya membawa anak tunggal kami berjumpa dengannya," kata Norazira Abu Bakar, 34 dari FELDA Kota Gelanggi, Jerantut.

Norhafizah Hassan, 27, berkata, anak Norazira, Mohd Khairul Razin Mohd Safridin, 11 bulan, seiras dengan arwah anaknya, Aqeel Naufal Mohd Azli, yang meninggal dunia pada April lalu akibat kerosakan otak.

"Saya menunggu selama 10 tahun untuk mendapatkan Mohd Khairul Razin. Saya faham perasaan Norhafizah yang kehilangan anak serta keinginannya untuk bertemu dengan anak saya untuk melepaskan rindu.

"Saya juga sering berpesan pada diri sendiri apa yang saya ada kini adalah pinjaman daripada Allah. Tiada salahnya saya berkongsi jika ia boleh memberi kegembiraan kepada orang lain selagi perkara itu tidak memudaratkan atau mengancam keselamatan kami sekeluarga,” katanya, lapor Harian Metro.

Menurut Norazira, sebelum ini dia pernah mengikuti perkembangan Aqeel Naufal yang koma sebelum meninggal dunia setelah kisahnya viral di Facebook. Bagaimanapun tidak menyangka takdir akan menemukan mereka. - SUMBER

No comments :

Post a Comment