unclemaniam.blogspot.com

Tuesday 15 December 2015

"B, AWAK PERGILAH, SAYA REDHA, SAYA RELAKAN.."

No comments :


Assalamualaikum wbt B. Hari ini genap seminggu kesibukan kami mempersiapkan awak ke tempat rehat awak di alam baru sana.


27 November 2015

Awak balik kerja seperti biasa. Saya dah siap memasak. Hari Jumaat, waktu makan makan adalah sebelum maghrib. Sebab dah tahu schedule awak setiap Jumaat, ada badminton dengan kawan-kawan awak.

Sebelum ini Amanina ikut tetapi hari Jumaat itu, dari siang dia cakap tak nak ikut ayah main badminton. Saya pelik juga, sebelum ini dia yang tak sabar-sabar.

Awak keluar malam itu seperti biasa juga. Di tempat training, awak ada WhatsApp saya. Awak beritahu esok nak pergi ke Angsana sebab dah gaji. Awak beritahu nak beri duit belanja untuk saya dan belanja barang-barang dapur sekali.

Awak balik lewat dari biasa. Tetapi awak kata awak penat, banyak peluh. Nak keringkan peluh dulu sebelum masuk kereta. Ini saya faham, awak memang tak suka kereta kena peluh. Penguk awak kata.


28 November 2015, Sabtu

Awal pagi saya tersedar. Saya tengok, awak tak ada. Tetapi saya sudah biasa sebab awak memang bangun solat malam. Saya sedar lagi, awak masih tak ada. Saya jenguk awak di tempat biasa. Awak baring depan sejadah, siap selimut.

"Kenapa tak tidur di dalam semula selepas solat?"

"Sejuk," balasnya.

"Kenapa tak matikan aircond saja?"

"Tak apalah," jawabnya.

Saya pegang dahi awak, tak panas. Tapi awak kata macam nak demam dan sakit kepala. Saya bagi awak panadol.

Siang itu, kita pergi Samsung Centre. Baliknya singgah di Angsana. Kita makan tengah hari di Marrybrown. Masa itu, awak makan bubur nasi, awak dah mula nampak tak sihat. Saya ajak awak balik. Awak sungguh-sungguh nak balik kampung. Saya ajak juga singgah di rumah kita dulu, bagi awak rehat.

Petang itu, awak berkeras nak balik kampung. Half way, awak tak larat dan saya sambung memandu sampai ke rumah mak. Saya buatkan bubur, tapi awak makan sikit saja.

Malamnya, saya bawa awak pergi ke klinik. Kebetulan ramai pula lelaki-lelaki dewasa yang demam. Doktor pun kata awak demam. Sekarang musim demam katanya.

Kita balik, saya bagi awak bubur dan makan ubat.


29 November 2015, Ahad

Awak masih tak sihat dan mula tiada selera makan. Awak dah lama tak demam, jadi kita sama-sama sangka mungkin awak demam teruk kali ini. Awak muntah-muntah, sakit kepala. Simptom dulu-dulu kalau awak demam.

Tengah hari itu, kita pergi rumah mak awak. Mak urut-urut kepala awak. Dia buka First Aid dia.

"Wah! Macam doktor! Semua jenis ubat ada,"

Bila dah kurang, kita balik pt salleh. Awak kata awak tak larat nak kerja Isnin. Kita pergi lagi sekali ke klinik. Doktor ambil darah dan kata awak tak makan ubat dengan betul. Dalam hati saya kata, "Betul juga,".Doktor bagi MC suruh awak berehat lagi.

Malanya, awak tidur seperti biasa, tidur lena. Tengah-tengah malam awak sedar, saya urutkan kepala awak. Awak suruh saya tidur, saya kata tak apa, saya tak kerja. Siang boleh tidur puas-puas.


30 November 2015, Isnin

Pagi-pagi awak dah bangun. Saya tengok memang awak dah sihat. Awak siap ajak saya pergi Samsung Centre lagi, ambil phone ini. Saya cakap tak payah sebab jauh. Saya boleh ambil sendiri esok-esok.

Dua kali saya kata tak payah, awak tetap nak keluar. Awak kata kalau duduk rumah saja, awak rasa nak tidur saja, nanti badan lemah.

Saya fikir, mungkin ada betul juga.

Dalam perjalanan kami, awak tanya "Kenapa ya saya sakit macam ni? Saya tak pernah sakit macam ni,".

Saya cakap, "Ya tak pernah, tapi kalau dulu-dulu sebelum kahwin, tak tahulah,".

"Tak apa, demam akan menghapuskan dosa-dosa. Amanina, ayahkan dah tak ada dosa, sebab ayah dah demam teruk,"

Awak senyum dan nampak lega.

Semasa saya mengambil phone, saya periksa, tak dapat detect network pula. Technician itu kata, ada major problem, nak kena baked semula.

Saya beritahu awak dan ajak awak balik sebab kalau tunggu pun lama. Awak tetap nak tunggu sampai siap. Awak kata baking itu sekejap saja. Tetapi kita tunggu sampai ke petang.

Saya ajak awak balik Senai je, dekat. Awak pun boleh berehat tetapi awak tak nak. Sampai di rumah mak, awak tiba-tiba rasa sejuk menggigil. Saya selimutkan awak tebal-tebal dan bagi air panas sampai awak terlelap.

Saya sediakan air mandian untuk awak. Air suam-suam dan kd sent antistress supaya awak segar. Tak lama saya kejutkan awak sebab dah nak maghrib. Awak nampak lega, nampak okay.

Malam itu, kita keluar ambil result darah awak. Saya dah standby nak beli ketam, buat sup ketam sebab saya suspek awak kena denggi. Memandai-mandai saja saya kan?

Rupa-rupanya tak ada. Semuanya okay, tiada sakit apa-apa. Demam pun dah sembuh. Awak memang nampak dah sihat. Kita beli burger di depan Munawarah sebab awak tak ada selera makan nasi.

Malam itu, awak masih sakit kepala dan masih rasa tak sihat. Awak kata tak cukup fit untuk pergi kerja. Saya kata tak apa, esok kita pergi klinik lagi.

Pada malam itu, awak tidak dapat tidur. Awak muntah, awak buang air, awak rasa sejuk, awak rasa panas. Saya urutkan kepala, tarik rambut seperti biasa. Abah urut-urutkan badan awak. Bila awak panas sangat, saya lumurkan awak dengan air asam jawa. Saya rasa risau sangat, tak pernah awak seperti ini.


1 Disember 2015, Selasa

Demam dah kebab tetapi awak tidur sebab tak cukup tidur malam tadi. Saya buatkan bubur lagi dan buat sup ayam lagi supaya awak ada selera makan. Saya siapkan air mandian awak, air suam-suam + kd sent antistress agar awak rasa lega.

Petang itu kita pergi klinik kesihatan kampung. Nurse itu periksa dan kata awak tak demam. Awak tak boleh dapat MC. Nurse ambil darah lagi. Result keluar, saya tanya denggi ke malaria? Nurse kata darah awak okay, tak ada apa-apa.

Jadi, kita sama-sama agak awak demam urat. Kita terus pergi rumah mak awak sebab di sana ada pakcik yang boleh urut.

Pakcik itu kata, badan awak penat, urat-urat jadi tegang. Selepas urut, InshaAllah lega. Kita balik rumah malam itu. Awak dah tak demam, cuma rasa lenguh-lenguh selepas diurut.

Masa nak tidur, awak dah tak nak tidur di tempat biasa awak tidur semasa sakit. Awak tak nak guna tilam yang awak guna semasa sebelum awak demam. Saya ambilkan tilam Amanina supaya awak selesa.

Tengah-tengah malam saya terjaga, tengok awak tak ada. Rupa-rupanya awak minum air dan makan buah pear. Saya lega tengok awak dah mula ada selera nak makan dan minum.

Awak suruh saya tidur, awak kata kesian saya kena jaga awak tak sampai tak cukup tidur. Saya cakap lagi, "Tak apa, saya tak kerja. Malam tak tidur, siang boleh tidur,". Saya urutkan kepalanya sampai saya yang tertidur.

2 Disember 2015, Rabu

Bangun pagi, awak nampak dah sihat. Cuma awak kata belum larat pergi kerja. Saya hantar awak pergi ke klinik lain pula. Doktor check, awak tak demam. Awak kata awak sakit kepala. Awak cakap pada doktor semalam awak urut badan, ingatkan demam urat. Doktor kata urut tak elok kalau demam urat. Kita diam saja.

Dalam perjalanan balik, awak kata nak makan nasi dan telur mata. Sampai di rumah saja, saya terus goreng telur, nasi sudah masak. Seronok sebab awak dah nak makan nasi. Awak nampak betul-betul sihat. Saya bagi awak makan nasi dan telur tetapi awak kata nak makan nasi putih saja.

Saya temankan awak makan, awak makan sikit sangat. Tapi tak apa, sekurang-kurangnya awak dah sihat. Kita berbual, badan awak dah okay awak kata. Saya suruh awak baring-baring dan berehat. Awak kata kalau tertidur saja, mimpi tentang kerja dan akan tersedar. Lepas itu sambung mimpi langi.

Saya ketawa saja, saya cakap kalau nak kerja, esok saya hantarkan. Awak cakap "Kesian awak B, esok birthday awak tapi awak kena jaga saya yang sakit,"

"Tak apalah, kan saya tak kerja,".

Tengah hari selepas Zohor, saya keluar cuci kereta awak sebab dah kotor. Khamis awak nak kerja. Awak kirim ENO sebab perut awak masuk angin. Balik itu saya buatkan ENO untuk awak minum. Saya pegang-pegang kepala awak, leher awak, memang dah tak panas lagi. Awak kata kepala pun dah okay. Perut saja masih ada angin.

Awak sendawa dengan kuat, saya cakap "Haaaa! Angin dah keluar, kejap lagi okay ni,"

Saya pun cepat-cepat pergi toilet dan solat Asar. Di sujud terakhir, saya dengar adik panggil-panggil nama awak. Abah panggil-panggil nama awak. Usai salam, saya lari tengok awak dah tak sedar.

Saya dan abah cuba tegakkan leher awak. Ada satu nafas keluar. Abah dan mak kata awak pengsan. Saya binggung. Mak, abah dan siapa lagi, angkat dan baringkan awak di lantai.

Azan maghrib berkumandang.

Sementara menunggu ambulans datang, saya solat maghrib. Saya doa Allah beri kesembuhan pada awak dan doa Allah berikan kekuatan pada saya. Saya minta supaya saya kuat dan redha atas apa juga ujian yang Allah nak beri.

Saya kejutkan awak, saya beritahu dah maghrib, bangunlah pergi ke surau. Pergi surau, memang rutin awak setiap maghrib akan pergi ke surau dan bawa Amanina sekali.

Ambulan sampai jam 8.00 malam. Doktor kata awak tak ada apa-apa. Hati saya masih harapkan ada keajaiban. Seperti di televisyen, doktor tekan-tekan, periksa, awak terbatuk-batuk dan terbangun, tetapi tak.

Doktor tutup muka awak dan saya menangis. Saya kumpul kekuatan, semua yang ada beri saya semangat dan kata-kata. Saya bukan tak boleh terima kenyataan, cuma tak boleh nak percaya lagi. Saya ingatkan awak cuma pengsan. Semua orang kata awak pengsan.

Saya kumpul kekuatan, saya cium dahi awak, usap-usap rambut awak seperti selalu. Saya cakap saya redha dan relakan awak pergi sebab awak dah penat sangat. Saya minta maaf di atas semua salah silap saya selama ini. Awak dah tak ada tapi saya tahu awak nampak saya.

Hati saya jadi tenang, cuma bila orang-orang di sekeliling menangis, saya jadi sayu. Saya beritahu Amanina yang ayah sudah tiada, ayah sudah meninggal dunia. Dia diam dan mengangguk seperti faham.

Dan seterusnya episod awak disiapkan untuk ke tempat baru awak. Orang semakin ramai, kawan-kawan awak datang. Sampai ke pagi saya tunggu awak.


3 Disember 2015, Rabu

Semalaman tak tidur, tak ada rasa mengantuk. Selepas awak dimandikan, saya solat minta Allah tolong mudahkan semua urusan. Buat kali terakhir saya cium dahi awak. Lembut dan sejuk. Usap-usap rambut awak sama seperti biasa.

Saya cakap lagi dengan awak, "B, awak pergilah, saya redha, saya relakan. Saya maafkan semua dosa-dosa awak tetapi awak tak ada dosa pada saya. Kita dah dah sama-sama janji akan sentiasa memaafkan setiap kali selepas solat,".

Rasa lapang dan tenang sekali perasaan saya. Pertama kali B saya naik van jenazah. Duduk sebelah awak. Saya dah tak sedih. Hingga dikebumikan, saya tak henti-henti doakan semoga Allah ampunkan semua dosa-dosa awak.

Bila tengok tanah dikambus, saya sedar saya juga akan ke sana. Saya kena terus bersedia untuk mati bila-bila. Tugas awak di dunia ini telah selesai. Allah merehatkan awak awal-awal kerana Allah sayangkan awak.

"Ya, Allah ambil awak sekarang kerana Allah sayangkan awak,"

Dalam perjalanan balik, saya rasa bersyukur Allah temukan kita, Allah izinkan saya berhenti kerja agar saya dapat berkhidmat untuk awak, jaga awak sakit tanpa mengeluh hingga ke akhir hayat awak, saya ada di sebelah awak.

InshaAllah saya kuat. Saya dah tak menangis. Cuma hari kedua itu sajalah, saya nak cuci baju-baju awak saya menjadi sedih. Bukan tak biasa cuci baju, tapi jadi macam blank sekejap. Selalu kan awak ada, bila tiba-tiba tak ada, mesti teringat.

Terima kasih kepada semua ahli keluarga dan saudara mara yang memberikan kata-kata semangat dan doa. Thanks semua kawan-kawan yang datang dan yang mendoakan kami. Thanks Ain Haron, sampai ke kubur kau temankan aku. Banyak benda kau belajar dari kau.

"B, tenang dan damailah awak di sana. Saya akan terus berusaha untuk siapkan bekalan saya pula bila tiba masanya nanti. Kita akan jumpa di sana nanti ya,"

Amanina, saya serahkan dia sepenuhnya di bawah jagaan dan perlindungan Allah swt. - Ain Rozita 

No comments :

Post a Comment