unclemaniam.blogspot.com

Tuesday 8 March 2016

TREND 'HABIS SPM KERJA KERAJAAN' SUDAH LAPUK

No comments :


MIRI - Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dinasihatkan terus mencari peluang pekerjaan dengan sektor teknikal berbanding sektor kerajaan.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional Sarawak, Wan Zain Syed Mohdzar berkata, trend makan gaji dengan kerajaan sudah lapuk, sebaliknya beralih pada pasaran kerja luas dalam sektor teknikal, lapor Utusan Borneo.

"Ramai yang menganggap, apabila mereka lulus cemerlang dalam peperiksaan awam, peluang bekerja dengan kerajaan sangat cerah. Namun, pemikiran seperti ini wajar diubah.

"Pelajar cemerlang atau sebaliknya perlu mencari jurusan pekerjaan ke arah teknikal, seiring dengan trend Malaysia yang menuju ke arah negara maju. Golongan anak muda ini tidak seharusnya membataskan pemikiran mereka untuk bekerja makan gaji semata-mata," katanya.

Menurut Zain, rata-rata golongan lepasan SPM dan STPM ini mempunyai ilmu dan kepakaran dalam bidang teknikal, berpeluang membuka perniagaan sendiri.

"Sebab itu saya tegaskan bahawa, lulus atau gagal dalam peperiksaan awam bukanlah penentu kepada kejayaan. Sebaliknya ia bergantung kepada usaha mereka untuk melakar kejayaan kelak," katanya.

"Lepasan sekolah harus berani berkorban dan mengambil risiko. Jika keadaan mendesak mereka berhijrah ke luar meninggalkan keluarga, maka ia perlu dilakukan sekiranya mahu berjaya.

"Ibu bapa juga perlu bersama-sama merancang masa depan anak-anak berdasarkan pasaran kerja terkini. Jika anak mereka perlu berhijrah, mereka harus merestuinya," tambahnya lagi. - SUMBER

No comments :

Post a Comment